web 2.0

Monday, September 21, 2009

Misteri lelaki berserban putih (Part 1)


Oleh Nora.

Darius mabuk lagi. Kali ini lebih teruk daripada biasa. Bergelas-gelas bir karana terlampau seronok bergembira dengan rakan-rakannya meraikan dirinya yang dinaikkan pangkat menjadi Pengurus di sebuah syarikat hartanah. Darius benar-benar lupa diri. Berjalan pun sudah tidak 'jejak' tanah lagi. Terhuyung-hayang sehinga memaksa rakan-rakannya menghantar dia pulang ke rumah.

Sebaik sahaja dihantar masuk ke dalam bilik, Darius sdah tidak sedarkan diri lagi. Sehinggalah dia tersedar ketika jam berdetik pukul 5 pagi. Dia seperti mendengar suara orang mengaji. Tetapi Darius tidak berdaya untuk bangun. hanya mampu merungut di dalam hati, "Sejak bila pula si Zahri ni pandai mengaji?" Darius agak kehairanan tetapi otaknya sudah tidak mampu berfikir lagi. Dia kembali tertidur kerana terlampau letih.

Apabila hari sudah tengah hari barulah Darius bangun. Selesai mandi dan memperkemaskan diri, dia keluar bilik dan mendapati Zahri sedang menonton televisyen di ruang tamu. Sementara Darius teringatkan hal Subuh tadi.

"Eh Zahri...sejak bila kau tahu mengaji hah?" soal Darius

Zahri memandang Darius dengan kening berkerut, "Bila pulak aku mengaji?"

"Subuh tadilah....menganggu aje aku nak tidur," beritahu Darius dengn nada tidak puas hati.

"Subuh tadi? Kau jangan mengarut Darius, aku mana ada balik rumah malam tadi. Baru aje sampai dari rumah mak aku", Zahri menjawab jujur

Darius pula tersentak. Memandangi muka Zahri dengan wajah pucat lesi, "Kau jangan main-main Zahri! Aku memang dengar suara orang mengaji Subuh tadi!"

"Main-main apa pulak? Kan aku dah bagitau kau aku nak balik rumah mak aku malam tadi? Itulah kau, asyik mabuk aje! Aku rasa Tuhan bagi kau petunjuk tu. Suruh kau sembahyang Subuh. Suruh kau ingat Tuhan. Lagi pulak kan dah bulan puasa ni," sindir Zahri. Tidak sedikit pun dia menganggap cerita Darius itu sebagai menakutkan.

"Ah! Suara dari masjid agaknya.." Darius cuba menyedapkan hatinya walaupun dalam hatinya masih tertanya-tanya sendiri.

Zahri menggeleng-gelengkan kepalanya. Faham benar bahawa rakan serumahnya itususah benar mahu insaf. Entah bila dia akan mendapat hidayah.

Seperti biasa, Darius meneruskan aktiviti bersosial pada waktu malamnya. Baginya itu sahaja cara untuk melepaskan ketegangansetelah seharian penat bekerja. Berhibur bersama-sama rakannya. Darius bersosial tidak mengira hari. Sampaikan dia tidak sedar umat Islam sudah menjalani ibadat puasa. Manakan tidak, siang-siang hari dia tetap makan bersama-sama rakan bukan Islam

Ketika orang lain sibuk ke masjid untuk bertarawikh, Darius pula sibuk dengan aktiviti 'mencucuk langit'. Tetapi tidak seperti kebiasaannya, malam ini Darius tidak mabuk. Dia pulang ke rumah dengan memandu sendiri keretanya. Darius sampai di rumah ketika jam berdetik ke angka tiga pagi. Sewaktu keluar dari kereta sambil bersiul tidak tentu hala, Darius dikejutkan dengan kelibat seorang lelaki berserban putih, berdiri tegak di luar pagar. Darius memandang dengan perasaan hairan namun dia enggan bertanya apa kemahuan lelaki berserban itu.

Dia terus berjalan mahu masuk ke dalam rumah. Tetapi entah mengapa, hati Darius bagaikan ditarik-tarik untuk menoleh kembali ke belakang. Lelaki berserban tadi sudah tiada. Darah Darius berderau. Spontan dia berlari ke pagar mahu melihat ke mana perginya lelaki tersebut. Namun, tiada sesiapa pun di kawasan sekitar. hanya terdengar lolongan anjing. Tidak semena-mena bulu tengkuk Darius tegak merinding. Jangan-jangan orang tua itu hantu! Sepantas kilat, Darius masuk ke dalam rumah

Apabila masuk ke dalam rumah. perasaan Darius menjadi berdebar-debar tidak menentu. Dia seakan-akan ternampak lelaki berserban putih tadi berada di dalam rumah. Seolah-olah mengekori setiap pergerakannya

Sehingga hendak tidur pun, persaan Darius jadi tidak tenang. Matanya terasa sukar hendak lelap. Setiap kali matanya hendak tertutup, bagai ada sahaja benda mengejutkannya supaya terus terjaga. Sudahnya sampai ke Subuh Darius tidak dapat tidur. Mengantuknya dia tidak terkira lagi. Darius terpaksa pergi ke pejabat dalam keadaan letih tidak cukup tidur

bersambung.....

blog comments powered by Disqus
Related Posts with Thumbnails