Oleh Nora.
Pekerja-pekerja bawahannya melihat Darius dengan pelik kerana dia asyik menguap. Sesekali tersengguk dalam bilik mesyuarat sehingga terpaksa ditegur oleh Pengarah Syarikat.
"Malam tadi saya tak tidur. Buat solat tahajud dan baca Al-Quran sampai ke Subuh," Darius berbohong demi menjaga imej baiknya di pejabat. Semua yang berada di dalam bilik mesyuarat terkagum mendengar penjelasan Darius.
Menjelang malam, rasa mengantuk Darius hilang secara automatik apabila teringatkan rancangan mahu berhibur dengan rakan-rakannya di sebuah kelab ekslusif di Bangsar. Kelab yang bukan hanya menghidangkan makanan sedap tetapi juga gadis cantik dan seksi sebagai habuan pelanggan yang sanggup membida
Di situ, Darius merasai keseronokan yang melampau. Kalaulah Pengarah Syarikat tahu tentang perangai buruknya ini, pastilah dia akan dilucutkan pangkat serta-merta. Jam satu pagi, Darius pulang ke rumah dalam keadaan separuh mabuk. Dia mendapati kereta Zahri ada di bawah porch, bererti rakannya itu ada di rumah.
Namun, baru sahaja hendak melangkah, Darius terkejut apabila mendapati ada seorang lelaki berserban putih sedang berdiri di depan pintu seolah-olah menanti kepulangannya. Darius menggenyeh mata berulangkali. Tidak ada lelaki berserban.
Kerana terlalu letih dan mengantuk, Darius tidak berupaya lagi untuk naik ke biliknya. Sebaliknya dia merebahkan badan di atas sofa di ruang tamu. Sekejap sahaja, dengkuran Darius mula memenuhi ruang tamu
"Bangunlah..buat solat tahajud...mengaji Quran.."
Darius tersentak. Terpisat-pisat membuka mata. Suara siapa tadi? DArius masih mamai.
"bangunlah..segeralah bertaubat..."
Darius bingkas bangun. Suara itu bukan suara Zahri. Dan dia tersentak apabila melihat seorang lelaki berserban putih, berdiri di hujung kakinya.
"Siapa kau?!" pekik Darius
Tetapi lelaki itu hilang begitu sahaja. Darius bertambah panik. Sepantas kilat dia bangun berlari naik ke bilik. Baru sahaja sampai di pintu bilik, telinga Darius menangkap suara orang sedang mengaji dari dalam biliknya. Perlahan-lahan dia membuka pintu dengan tangan terketar-ketar. Kelihatan lelaki berserban putih tadi duduk mengaji di tengah bilik. Ada cahaya terang melingkari tubuhnya.
"Bertaubatlah Darius...selagi ade ruang, selagi nyawa kau dikandung badan," seru lelaki itu tanpa memandang Darius. Kemudian, hilang sekelip mata. Lutut Darius terasa lemah. Dia tidak berdaya untuk melangkah . Perlahan-lahan, Darius melurut di tepi pintu. Menggigil dan terketar-ketar.
Zahri yang bangun untuk menunaikan solat Subuh, terkejut apabila menjumpai Darius dalam keadaan menggigil di tepi pintu. Hendak bercakap pun tergagap-gagap. Setelah puas ditenangkan barulah Darius mampu untuk menceritakan tentang kemunculan lelaki misteri berserban putih
"Tak payalah kau pening kepala fikir siapa lelaki berserban putih itu. Lagi pulak blan puasa ini, mana ada hantu! Kau anggap ajelah itu petunjuk dari Tuhan suruh kau bertaubat sebelum terlambat. Sudah-sudahlah dengan aktiviti clubbing kau tu. Lebih baik kau duduk rumah, solat, mengaji....dapat pahala!" Zahri membebel. Tidak sedikit pun bersimpati dengan apa yang dialami oleh Darius.
Darius tertundukmeraup tangan ke muka. Baru teringat untuk beristghtifar. Baru tersedar selama ini hidupnya sudah banyak tersasar. Barulah dia rasa bersyukur kerana kehadiran lelaki misteri berserban putih itu susah berjaya menyedarkan dia.